Terasa manisnya buah fikiran ini yang menyinggung cara berfikir masyarakat kita dalam menghadapi sesuatu musibah. Ianya dibuahkan oleh penulis dalam menghuraikan tajuk Jadilah Ulul Albab, bukan pemilik fikiran lembab. Kami di blog ini mengutip buah yang dilemparkan beliau dalam hubungannya dengan bab Modal Insan dan hubungan babnya dengan hadith tentang burung, kemudian di berikan tajuk sendiri, moga ia berbuah lagi. – ed.
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut dalam salah satu ucapannya pada tahun 2006 tentang generasi Ulul Albab, tidak ramai yang memberikan sambutan sewajarnya. Kecuali di Terengganu kedengaran slogan Ulul Albab itu berkumandang dan diberi perhatian yang baik. Saya tidak pasti kenapa. Barangkali…
Nilai-nilai yang negatif cepat sahaja berkembang dalam masyarakat, padahal kebanyakan kita mempunyai latar pendidikan yang bukan sembarangan. Barangkali pengajian kita lebih banyak menegaskan soal penghafalan fakta, dan kurang pula membentuk kemampuan menilai fakta secara matang dan berprinsip. Lalu ramai yang hanyut dalam ‘cakap orang’. Al-Quran dalam mensifatkan golongan Ulul Albab menyatakan: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengagumkan engkau. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya (surah al-Maidah: 100).
Di atas kelemahan minda analisis sesetengah masyarakat Muslim, maka tidak hairan jika dalam keadaan kita ingin membentuk pemikiran matang dan bertamadun tiba-tiba media kita menyiarkan cerita para bomoh meramalkan tentang Adik Sharlinie yang hilang. Kita amat bersimpati dengan kehilangan Adik Sharlinie dan mendoakan agar Allah mengembalikannya dengan selamat. Namun penggunaan bomoh yang seperti itu amat mendukacitakan.
Apabila saya melihat mereka menggunakan burung yang dilepaskan ke udara dalam mencari adik berkenaan, mengingatkan saya tentang amalan masyarakat jahiliah dahulu yang menggunakan burung untuk meramalkan nasib baik dan buruk mereka. Apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda melarang perbuatan jahiliah ini dengan berkata: Kekalkan burung pada sarangnya (riwayat Abu Daud dan al-Hakim dalam al- Mustadrak, dinilai sahih oleh al-Zahabi).
Kata al-Imam al-Syafii (meninggal 204H): “Dahulu golongan jahiliah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas anggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: Kekalkan burung pada sarangnya. (Abu Nuim al-Asfahani, Hilyah al-Auliya, 9/95, Beirut: Dar al-Kitab al- ‘Arabi).
Ertinya Nabi s.a.w. berkempen membuang pemikiran karut seperti itu dari masyarakat jahiliah. Jahiliah bermaksud bodoh iaitu dari perkataan jahil. Setelah seribu empat ratus tahun berlalu, tiba-tiba kebodohan itu muncul semula dengan liputan yang meluas di dada-dada media dalam sebuah masyarakat yang ingin membina tamadun. Kita kadangkala bukan sahaja mengutip perangai jahiliah, tetapi khurafatnya sekali.
Saya selalu berkata; drama kebanyakan bomoh hampir sama. Heronya ialah bomoh itu sendiri, penjahatnya adalah hantu dan sesiapa yang berkait dengannya. Sementara mangsanya adalah pengadu yang akan membayar ‘pengkerasnya’. Maka apa penyakit pun, jika kita berjumpa bomoh, kebanyakannya akan menuduh hantu itu dan ini. Jika anda menghidap ketumbuhan dalam perut yang disahkan oleh doktor pakar, anda bertemu bomoh, dia akan beritahu anda hantu sedang menggigitnya. Sehingga saya rasa mungkin hantu-hantu juga banyak yang tertekan dan kecewa kerana mereka asyik difitnah oleh bomoh sekalipun dalam perkara-perkara yang mereka tidak lakukan.
Untuk mendapat perspektif sepenuhnya tentang tajuk asal, sila baca di minda mufti atau pena mufti
No comments:
Post a Comment