Thursday, April 3, 2008

Musnahkan sistem kerajaan, Mahathir perlu dibicarakan

Musnahkan sistem kerajaan, Mahathir perlu dibicarakan
Aniz Nazri Thu Apr 03, 08 7:10:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Sekiranya bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori boleh menghadapi perbicaraan tentang salah guna kuasa dan rasuah, mengapa tidak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad?
Persoalan itu ditimbulkan Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd Nor, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.
Ezam, dalam kenyataannya berkata pendedahan UN Special Rapporteur, Dato' Param Cumaraswamy di dalam akhbar The Star, hari ini jelas menunjukkan bagaimana Tun Mahathir terlibat dalam memusnahkan sistem kerajaan di Malaysia.
Katanya, biarpun hampir keseluruhan rakyat sebulat suara bersetuju bahawa sistem kerajaan telah dicemari dengan amalan rasuah, berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, kesalahan amalan rasuah ini tidak boleh diletakkan ke atas PM, Abdullah Ahmad Badawi semata-mata .
"Ini kerana, kelemahan yang berlaku di bawah pentadbiran beliau (Abdullah) bukan terjadi dalam masa semalaman, tetapi diwarisi dari pentadbir sebelumnya. Sehubungan itu, Tun Mahathir sewajarnya disalahkan ke atas krisis yang berlaku dalam bidang penghakiman, polis dan BPR," tegas beliau.
Malah, tambah Ezam adalah tidak menghairankan badan seperti BPR bertindak tidak relevan sebaliknya menjadi 'kedai dobi' untuk pengamal rasuah membersihkan nama mereka.
Oleh itu, tegas beliau Gerak sebagai badan bukan profit dan NGO anti korupsi yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan Param untuk menyiasat dakwaan terhadap Tun Mahathir.
"Berdasarkan testimoni bekas Pengarah BPR, Dato' Shafee Yahya, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ariffin Jaka dalam perbicaraan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000 seperti yang tertera dalam rekod mahkamah, bahawa terdapat bukti kukuh untuk menyiasat Tun Mahathir kerana salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang dilakukan beliau pada 1998. Sebagai mantan PM, tidak meletakkan beliau 'keistimewaan' untuk terlepas dari hukuman ke atas kesalahan semasa pentadbiran beliau," tegas Ezam. - mks.

No comments:

Post a Comment