Friday, March 7, 2008

Warkah Anwar Ibrahim untuk Semua


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Penentuan sudah semakin hampir. 8 Mac 2008 bakal menyaksikan apakah rakyat bersedia untuk berubah ke arah Malaysia yang lebih mapan dan baik, ataupun mahu terus kekal dan terperosok dalam lipatan sejarah 50 tahun kemerdekaan negara yang penuh rencam.
Sebermula saat hari penamaan calon lagi,pelbagai penipuan telah disajikan oleh Umno-BN melalui SPR sebagai boneka mereka. Pengenalan duti setem, pemansuhan duti setem secara tiba-tiba, kempen yang tidak seimbang, ugutan dan ancaman berbaur samseng ke arah calon pembangkang, pengesahan SPR mengenai wujudnya 8,666 pengundi berusia 100 tahun ke atas, pengundian pos yang tidak rahsia, sehinggalah pemansuhan penggunaan dakwat kekal kepada pengundi atas alasan ‘keselamatan awam.’
Penipuan-penipuan ini pastinya bertujuan untuk mengekalkan pemerintahan Umno-BN, di saat mereka gelabah melihat rakyat sudah berani menyatakan rasa tidak puas hati mereka di semua pelusuk Malaysia. Tetapi sayang, penipuan ini memberi gambaran bahawa rakyat di mata Umno-BN adalah rakyat yang mudah diperkotak-katik dan diperbodohkan sewenangnya.
Inilah yang dikehendaki Umno-BN, agar rakyat mengalihkan pandangan, seterusnya menjadi leka dalam amarah. Lantas mereka menyusup menggunakan strategi kotor, termasuklah mengimport pengundi hantu di beberapa kawasan khususnya Kelantan, Terengganu dan tidak ketinggalan di Pekan, Pahang. Pembangkang dicemuh melalui media tanpa ada ruang untuk kita memberi respon balas. Saya, yang sebelum ini dikatakan ‘tidak relevan lagi’ dalam politik Malaysia, saban hari diasak dengan pelbagai jenis fitnah dan tuduhan-tuduhan dangkal. Ironinya sambutan dalam program ceramah dan rapat umum mencecah ribuan pengunjung tanpa perlu sogokan wang ringgit mahupun elemen hiburan.
Dari Utara membawa ke Selatan, kesempatan berkempen selamat 13 hari diisi dengan baik. Alhamdulillah saya telah menyaksikan kebangkitan rakyat hampir di seluruh negara, dan perjuangan ini bukan perjuangan picisan, ini perjuangan rakyat yang ingin bangkit daripada penindasan zalim Umno-BN! Sambutan ke atas calon-calon KeADILan termasuklah PAS dan DAP sangat memberangsangkan, dan kelihatan Umno-BN terus terdesak dan kalut. Meskipun mereka menguasai media arus perdana, mereka terus berada dalam keadaan bertahan. Manifesto KeADILan, PAS dan DAP langsung tidak mereka kupas, sebaliknya hanya menyerang, menyerang dan menyerang membabi buta.


Saudara-saudari sekalian,
Setiap rakyat berhak memperoleh peluang untuk melangkah dengan lebih baik. Malaysia punyai potensi yang sangat hebat, tetapi sayang potensi ini pudar dek rakusnya permainan politik Umno-BN yang terus memasung minda rakyat dengan sentimen perkauman sempit yang sarat dengan unsur-unsur rasuah. Sistem kehakiman mudah dijual beli tauke judi, jenayah kian berleluasa dengan kes-kes rogol, ragut dan bunuh semakin meningkat. Polis tidak lagi bertugas mengawal ketenteraman awam, sebaliknya dikerah memantau pergerakan pembangkang. Inflasi semakin menggila, gaji kian menyusut, akhirnya rakyat terus hidup melarat. Yang diseru BN, agar rakyat terus bersyukur dengan apa yang ada.
Apa yang perlu anda lakukan pada 8 Mac 2008 adalah keberanian untuk berubah. Komitmen KeADILan jelas, kemenangan yang saudara/saudari berikan kepada KeADILan dan pakatan pembangkang lainnya akan diterjemahkan dengan penurunan harga petrol, kawalan inflasi dan kenaikan harga barang,usaha membanteras jenayah yang lebih padu, pendidikan percuma yang fleksibel untuk semua, dan kerajaan yang lebih adil dan saksama kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
KeADILan telah mengemukakan Manifesto berjudul Harapan Baru untuk Malaysia yang begitu peka kepada menyediakan penyelesaian masalah-masalah asas rakyat Malaysia. Dan harapan yang dijanjikan KeADILan ini akan direalisasikan melalui calon-calon KeADILan yang datang daripada pelbagai latar belakang serta mempunyai kaliber dan kredibiliti yang sangat baik.
KeADILan, PAS dan DAP telah pun memainkan peranan untuk menyelamatkan Malaysia daripada lemas dalam arus kemusnahan dek nafsu serakah pimpinan Umno-BN dan tauke-tauke judi. Tinggal anda untuk membuat keputusan. Segalanya boleh direalisasikan, melalui anda, rakyat Malaysia yang bermaruah.
Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia kini telah matang dan bijak, dan kebijaksanaan itu akan diterjemahkan dengan mengundi KeADILan, PAS dan DAP pada 8 Mac 2008 ini sebagai satu usaha untuk menyelamatkan Malaysia.
Kini tiba masanya Malaysia menjajat masa depan dengan Harapan Baru yang lebih cerah dan perkasa. Penentuan di tangan anda. Kepada Tuhan kita berserah.
Selamat menunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah!
Anwar Ibrahim
sumber:
http://dinmerican.wordpress.com/2008/03/07/warkah-anwar-ibrahim-untuk-semua/

No comments:

Post a Comment